Pelakon drama Gerak Khas telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret


Dalam drama bersiri Gerak Khas, pelakon Farid Amirul Hisham Wu Abdullah, 44, yang membawa watak Detektif Lim sering dipuji kerana kerap berjaya menangkap penjenayah.

Namun keadaan sebaliknya berlaku di Mahkamah Majistret di sini semalam apabila dia dituduh mencuri dua buah buku berharga RM194.90 di sebuah kedai buku di Mid Valley Megamall pada Mac lalu.

Farid yang memegang peranan sebagai pegawai penyiasat bahagian jenayah dalam drama popular tersebut bagaimanapun menukar pengakuan kepada mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kali kedua terhadapnya semalam.

Pada 8 April lalu, Farid telah pun dituduh kali pertama atas pertuduhan tersebut dan mengaku bersalah, namun dia yang sepatutnya dijatuhkan hukuman semalam menukar fikiran setelah melantik peguam bela, Nor Azri Mohd. Arif.

Nor Azri yang memaklumkan dirinya baru sahaja dilantik memohon supaya pendakwaan membekalkan kertas pertuduhan kepada pihaknya selain memohon penangguhan perbicaraan bagi meneliti kes tersebut.
Majistret Mohd. Faizi Che Abu membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 18 Jun depan untuk perbicaraan kes itu.

Farid didakwa mencuri dua buah buku berjudul Decoding The Heaven dan The Sistine Secrets, masing-masing berharga RM105 dan RM89.90, milik MPH Bookstore di Mid Valley Megamall pada pukul 7.15 malam 27 Mac lalu.

Buku Decoding The Heaven membongkar misteri penemuan satu peralatan sains purba.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Mukhzany Faiz Mohd. Mokhtar mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berkemeja biru muda hadir berseorangan dan kini dalam jaminan mahkamah sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.


Plzz..Berikan Komen. Komen anda amat di perlukan untuk memberi idea kepada penulis mencari bahan untuk rujukkan bersama.

Comments :

0 comments to “Pelakon drama Gerak Khas telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret”

Catat Ulasan

Clik Iklan Disini

 

coments