
Bagi mengelak dikesan polis, satu kumpulan penyamun yang menjalankan kegiatan merompak telah menjadikan sebuah hotel di daerah ini sebagai pusat operasi mereka sejak lima bulan lalu.
Bagaimanapun, kegiatan licik mereka berakhir semalam apabila polis berjaya menahan lima lelaki berusia antara 27 hingga 34 tahun Rabu lalu.
Kesemua lelaki tersebut ditahan selepas dua hari menyamun sebuah rumah banglo tiga tingkat di Lorong Kampar, Bukit Kuda, dekat sini.
Mereka ditahan kira-kira pukul 3 petang pada hari tersebut bersama seorang wanita Thailand yang sedang khayal menghisap dadah jenis syabu di bilik hotel tersebut yang terletak kurang 1 kilometer dari rumah mangsa.
Dengan tertangkapnya lima lelaki tersebut, polis berjaya menyelesaikan 19 kes samun sekitar daerah ini dengan nilai kerugian mencecah RM100,000 sejak Disember lalu hingga bulan ini.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop memberitahu, kumpulan itu menginap di hotel tersebut sebelum menyamun rumah berkenaan.
Hotel jadi transit kumpulan para penyamun
income178, Jumaat, 22 Mei 2009jelmaan Hantu lebuh raya
income178, Khamis, 21 Mei 2009
Seorang guru bahasa Arab, Mohd. Fitri Mohamad tidak dapat melupakan keanehan yang beliau sekeluarga alami ketika bercuti selama tiga hari ke Cameron Highlands dan Kuala Lumpur minggu lepas.
Sepanjang percutian itu, guru Sekolah Yayasan Islam Perlis, Kangar itu mendakwa anak saudaranya yang berusia dua tahun yang menaiki kereta Proton Wira yang dipandunya berperangai aneh apabila asyik menangis.
Tidak cukup dengan itu, Mohd. Fitri juga mendakwa keretanya terasa begitu ‘berat’ dan beliau ternampak kelibat ‘lembaga’ semasa berhenti di Padang Besar.
Namun, peristiwa paling mengejutkan mereka ialah kemunculan imej ‘lembaga’ dipercayai wanita berbaju merah yang dirakam dalam sekeping gambar di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat & Rawat (R & R) Gurun arah selatan sewaktu mereka memulakan percutian pada Jumaat lalu.
Mohd. Fitri, 29, mengakui semasa mengambil gambar isterinya, Shatini Shahidan, 28, yang berdiri di sebelah kereta mereka pada pukul 5.30 pagi itu, tiada sesiapa dilihat berjalan di belakang Shatini.
Lembaga itu muncul dengan wajahnya kabur dan berambut panjang.
“Sepanjang perjalanan selepas itu, kereta saya terasa berat semacam sehingga kos minyak dari Kuala Lumpur balik Perlis mencecah RM100 sedangkan biasanya dalam lingkungan RM60 sahaja,” katanya.
Sewaktu dia menurunkan abangnya di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar sebaik habis cuti pada Isnin lalu, Mohd. Fitri mendakwa ternampak kelibat satu lembaga keluar dari keretanya.
“Saya sempat membaca ayat Kursi bagi memastikan kami tidak terus diganggu,’’ ujarnya.
Peristiwa itu kemudian dilupakan sehinggalah dia melihat semula gambar yang dirakam di stesen minyak itu menggunakan kamera digital Nikon milik majikan isterinya.
“Berdasarkan gambar itu dan pengalaman saya melihat kelibatnya, ia amat mengerikan iaitu seakan-akan muka beruk dengan pipi lebar dan mulut muncung panjang serta berambut panjang,” ujarnya.
Sementara itu, Shatini yang merupakan seorang kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberitahu, ketika gambar itu diambil, dia tidak berasa sesuatu yang aneh.
Kejadian yang mereka alami itu berlaku hanya kira-kira 20 minit perjalanan dari lokasi dua kemalangan jalan raya yang berlaku pada tahun ini di Sungai Petani.
Kemalangan itu membabitkan seorang pemandu kereta Perodua Kancil yang cedera parah pada 5 Februari. Ia diikuti dengan insiden seorang pemandu lori serta kelindannya cedera apabila kenderaan mereka terbabas di Kilometer 105, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Sungai Petani pada 19 April.
Dalam kejadian tersebut, mangsa-mangsa mendakwa cuba mengelak ‘wanita berkebaya merah’ yang dilihat melintas lebuh raya di situ.
•

