Bosan asyik berlakon jahat


SAYA terpanggil untuk mengadakan sesi fotografi dengan wanita putih gebu ini setelah menyaksikan pratonton drama 2 Marhalah yang bakal disiarkan di saluran Astro Oasis.

Dia membawa watak wanita malang yang kemudian menjadi pelacur sebelum menemui nur yang mengubah hidupnya.

Usai tontonan, saya didatangi Puan Fatimah Abu Bakar yang turut menonton drama tersebut sewaktu pratonton Megadrama Astro.

Guru lakonan yang terkenal itu bersuara deras dalam nada kesal di depan saya dan Zizie Ezette A. Samad.

Katanya: "Tolong tanyakan pada industri ini kenapa seorang pelakon yang bagus seperti Zizie tidak diberi peluang berlakon filem? Satu kerugian besar kerana dia ada bakat yang mengagumkan. Tolong ya."

Lalu saya ajukan pertanyaan itu kepada wanita kelahiran Kuala Lumpur itu sewaktu wajahnya dirias jurusolek, Tiar Zainal. Dia tersenyum tapi jauh di relung hati yang paling dalam dia sangat terkesan dengan kata-kata Fatimah.

"Dia seorang yang dihormati dalam bidang lakonan. Apabila dia menyatakan begitu, saya sangat terharu."


Awalan kisah perjalanan seninya bermula dengan filem Kekasih Awal dan Akhir pada tahun 1993 yang mengangkat namanya sebagai pelakon pelapis.

Waktu itu usianya baru 15 tahun. Namun rentak seterusnya bertapakkan drama-drama sahaja.

Menoleh ke belakang, Zizie akur dengan perjalanan hidupnya sebagai anak wayang.

Ujarnya, mungkin belum tuahnya untuk muncul lagi di layar lebar. Bagaimanapun rezeki berlakon drama yang terus melimpah sangat disyukurinya.

Keinginan untuk bermain wayang, menabur bakat dan disaksikan di atas kanvas layar putih di pawagam masih tersemat kejap.

"Saya inginkan watak yang berat dan beremosi serta bermain dengan mood," ujarnya tersenyum manis.

Dia akui bahawa langkahnya berlakon filem mungkin terhenti atas sikapnya sendiri.

Sikap yang bagaimana, tanya saya. Dia menjawab dengan jujur: "Kalau direnung kembali, saya yang dahulu lebih pemalu hingga ada yang anggap sombong.

"Tapi sebenarnya saya rasa rendah diri. Sekarang baru ada keyakinan untuk muncul kembali dengan semangat yang membara.

"Baru saya yakin untuk bertemu dengan para wartawan dan bercerita tentang projek demi projek saya.

"Sikap pemalu dan rendah diri itu mungkin salah satu punca mengapa orang tidak nampak saya aktif dan tidak ada yang mahu panggil untuk berlakon filem.


"Saya sedar, dalam industri kita perlu tahu mempromosikan diri dengan cara yang betul."

Jemu watak perempuan gedik

Pesan ibu supaya Zizie bersikap lebih terbuka terhadap media antara bekalan untuk gadis berusia 31 tahun ini bangkit menatap dunia seni yang sebenar.

Dia sudah berani berjalan di atas karpet merah. Dahulu katanya, dia lebih gemar menyelinap di belakang agar tidak melintasi hamparan permaidani itu.

Namun pesan ibu yang senang dipanggil Khaty: "Ini periuk nasi kita. Jangan sampai orang lupa kehadiran kita."

Itulah yang membuat Zizie tahu segalanya perlu diubah. Dia mula yakin untuk muncul di depan khalayak dengan pernyataan tersirat iaitu dia masih wujud dalam industri.

Dia tidak berjalan di atas karpet merah hanya untuk glamor sebaliknya bagi menjual bakat.

Satu prinsip yang dipegang sepanjang menjadi anak seni, Zizie tidak pernah ada sedikit pun sifat dengki. Walau pernah ditikam dari belakang oleh rakan-rakan sendiri, dia tabah dan tidak dikuasai perasaan itu.

"Saya tahu satu hari sifat hasad dengki akan memakan diri sendiri. Ada orang gunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan orang lain dan saya banyak teman-teman yang sebegitu.

"Saya sentiasa ingat pesanan pelakon dan pengarah, Fauziah Nawi, 'Tidak semua manusia berhati baik. Jadi jika terkena dengan orang yang berperasaan dengki, maka sedekahkan sahaja al-Fatihah'."


Zizie mengakui dia bukan malaikat, tetapi akan melakukan kerja seikhlas mungkin.

"Saya berlakon daripada hati dan saya harap segalanya terpancar melalui lakonan saya. Apabila Puan Fatty (Fatimah) berkata begitu, saya tahu penyampaian saya sekurang-kurangnya dapat dibaca oleh penonton," kata Zizie yang inginkan perubahan kini.

Selama ini dia sudah terbiasa benar dengan watak antagonis dalam drama seperti wanita penggoda, ibu tiri dan perempuan gedik.

Kini dia mahukan perubahan agar bukan itu sahaja yang terlekat dalam minda penonton tentang dirinya.

"Risau juga jika orang fikir saya di luar juga begitu. Dalam 10 drama yang saya bawa, lapan pasti watak jahat. Hakikatnya saya adalah seorang yang sangat happy go lucky dan ceria. Bukan penggoda atau garang macam mak tiri."


Maka drama 2 Marhalah bakal membawa transisi dalam hidupnya. Taubat seorang pelacur yang dilakonkan diharapkan membawa sinar.

"Jujurnya drama ini yang paling seronok saya bawakan kerana ia memberi impak dalam lakonan dan kehidupan sebenar saya.

"Bukan mahu mengatakan yang saya ini baik sangat tetapi melalui drama ini saya sudah semakin mendekatkan diri dengan-Nya. Saya sudah mula rajin membeli buku agama dan mentelaah.

"Saya sedar selama ini saya abaikan tanggungjawab sebagai muslimah. 2 Marhalah membuka hati saya ke arah itu. Syukur."

Fizo hanya kawan

Klise katanya apabila kisah peribadinya menjadi bahan gosip walaupun kadangkala cerita itu keluar dari mulutnya sendiri.

Mulanya dia enggan bercerita tentang Fizo Omar, 24, pelakon Spa Q 2 yang dikaitkan dengan dirinya. Masih berbaur klise namun katanya dia berhak juga membetulkan fakta.




"Mungkin umum tidak percaya jika saya katakan Fizo itu hanya kawan. Dia seorang yang menyenangkan dan matang.

"Dia muda daripada saya tetapi dia yang banyak tegur saya itu dan ini. Saya sudah anggap dia macam adik-beradik saya. Itu yang boleh katakan, terpulang mahu percaya ataupun tidak."

Jiwa Zizie masih kosong daripada seseorang yang dinamakan kekasih. Dalam ruang yang sepi itu lebih baik katanya mencatat karier yang lancar. Bukan tidak mahu mencari tetapi biarlah segalanya datang sendiri.


Plzz..Berikan Komen. Komen anda amat di perlukan untuk memberi idea kepada penulis mencari bahan untuk rujukkan bersama.

Clik Iklan Disini

 

coments