kitar semula telefon bimbit




DENGAN lebih satu bilion orang yang menggunakan telefon bimbit Nokia, apakah cara yang mudah dan bijak untuk menggalakkan orang ramai supaya turut serta dalam usaha melindungi alam sekitar? Konsep itu telah mula berputik dalam budaya organisasi tersebut sejak beberapa tahun lalu. Kini, perubahan dan sumbangan dilihat berjalan lancar.

Nokia dengan slogannya yang berbunyi Connecting People, kini telah menjangkau ke satu tahap yang lebih tinggi apabila mengintegrasikan visi utama syarikat gergasi dari Finland. Dengan mendukung hasrat untuk menghubungkan masyarakat sedunia, Nokia turut mengangkat usaha menjamin pembangunan yang bersifat mesra alam.

Terbaru, terkini dan yang pertama diperkenalkan dalam industri pembuatan telefon bimbit adalah perkhidmatan we: offset. Ia merupakan salah satu pendekatan kepada pengguna pesawat untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan kepada projek-projek yang mengurangkan pembebasan gas rumah hijau.


SEORANG wakil Nokia menunjukkan cara-cara melayari laman sesawang Green Explorer menggunakan telefon bimbit.


Contohnya, jika anda mahu melakukan penerbangan ke sesuatu lokasi, we: offset akan melakukan satu kiraan ringkas bagi menentukan berapa banyak gas karbon dioksida yang akan dibebaskan dari destinasi A ke B. Ia kemudian menterjemahkannya ke dalam bentuk wang yang dapat didermakan untuk projek penjagaan alam sekitar.

"Aplikasi ini sememangnya menarik kerana Nokia membuka sebuah platform kepada pelanggan untuk menggunakan teknologi telefon bimbit bagi menunjukkan keprihatinannya terhadap isu pemanasan global," ujar Pengarah Bahagian Hal Ehwal Alam Sekitar, Nokia, Markus Terho.

Menurutnya, pelanggan boleh memuat turun khidmat itu dari laman Nokia dan boleh menikmati aplikasi tersebut dalam 46 bahasa universal.

Terho juga menekankan satu lagi kerjasama unik yang dijalinkan dengan Dana Hidupan Liar (WWF). Dikenali sebagai Nokia Green Explorer, khidmat perancang pengembaraan itu memberi tip-tip penting tentang langkah-langkah menyokong pemuliharaan alam semula jadi.

Selain itu, Nokia Malaysia melancarkan Kios Integrasi Nokia (INK) yang pertama seumpamanya pada Julai tahun lalu. Ia menetapkan dua objektif utama iaitu mendidik masyarakat umum tentang cara-cara untuk mengitar semula telefon bimbit lama termasuk aksesori dan mendapatkan servis pembaikpulih telefon bimbit yang telah digunapakai.


PEMBUNGKUSAN telefon bimbit Nokia 3110 Evolve.


Memandangkan pusat beli-belah mempunyai trafik pengunjung yang ramai, maka objektif itu cuba dicapai dalam tempoh enam bulan di lokasi berkenaan. Setakat ini, INK berjaya mengumpul lebih daripada 1,500 telefon bimbit lama dan semua jenis jenama telefon bimbit diterima. Melihat keberkesanannya dalam masa yang singkat terutamanya dalam kalangan orang muda, Pengurus Serantau, Bahagian Hal Ehwal Alam Sekitar, Asia Tenggara dan Pasifik, Nokia, Francis Cheong berkata, ia menunjukkan petanda positif kepada trend kebangkitan kesedaran terhadap pilihan yang disediakan bagi tujuan tersebut.

Sebagai tambahan, Nokia juga memberi insentif dalam bentuk menanam sebatang pokok atas nama penyumbang. "Bagi setiap telefon bimbit yang dihantar untuk dikitar semula, pelanggan mendapat sebatang pokok yang akan ditanam di bawah program Nokia NewTrees," katanya.

Dalam pada itu, di rantau Asia Tenggara dan Pasifik sahaja, beberapa program telah dijalankan dari semasa ke semasa melibatkan kerajaan, badan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi.


GRAF menunjukkan aliran telefon bimbit lama yang tidak dikitar semula.


Antaranya adalah Kempen Public Take-back di Thailand (November, 2008), Kempen E-Cycling Fun Run di Filipina (Disember, 2008), Kempen Kesedaran Hijau oleh Universiti Teknologi Nanyang di Singapura (Januari, 2009) dan Universiti Kebangsaan Singapura (Ogos, 2008) serta Kempen Public Take-back di Malaysia (November 2007 hingga Mac 2008).

Kebanyakan daripada sumbangan itu disalurkan kepada projek-projek pemuliharaan alam dan hidupan liar seperti penanaman pokok di Taman Nasional Sebangau, Kalimantan dan Lombok, Indonesia, pemulihan batas air La Mesa di Filipina; pemuliharaan dan perlindungan haiwan seperti gajah di Kompleks Hutan Kareng Krachan, Thailand; projek konservasi penyu di Ma Daerah, Terengganu dan aktiviti kesedaran alam sekitar di Singapura.

Dari konteks rekaan dan reka bentuk pula, Nokia mengeluarkan telefon bimbit yang mengurangkan tenaga secara tidak langsung. Salah satu kaedah yang disaksikan sejak tahun 1984 adalah pengurangan saiz produk dari 4.8 kilogram bagi Nokia Talkman kepada 79 gram pada tahun 1999 bagi Nokia 8210.


KESAN pengurangan bahan pembungkusan dalam produk Nokia.


Walaupun saiznya dikurangkan, ciri-ciri dan perkhidmatan yang disediakan dipertingkatkan. Hari ini, aktiviti menonton video, gambar, muzik dan penghantaran e-mel semuanya boleh dilakukan dalam satu alat yang kecil. Sudah tentu, perkara ini menjimatkan kos dan tenaga.

Menyasarkan kepada kemajuan pembungkusan yang efektif, sebanyak 95 peratus daripada bahan pembungkusan Nokia diperbuat daripada kertas. Menjelang akhir tahun lalu, 60 peratus daripada kotak pembungkus Nokia adalah kompak.

Nokia juga bangga dengan kemunculan Nokia 3110 Evolve yang menampilkan penutup kotak biologi yang dihasilkan daripada lebih 50 peratus bahan kitar semula, alat pengecas mesra alam dan 94 peratus kurang tenaga daripada syarat Energy Star yang diletakkan pada telefon bimbit lain.


Plzz..Berikan Komen. Komen anda amat di perlukan untuk memberi idea kepada penulis mencari bahan untuk rujukkan bersama.

Clik Iklan Disini

 

coments