Sheila ubah stigma





ANAK angkat yang tidak mengenang budi diistilahkan sebagai anak buluh betung - anak yang datang entah dari mana, diambil dan dijaga seperti anak sendiri tapi malangnya, apabila dewasa anak itu menjadi anak derhaka dan tidak mengenang budi.

Itu intipati yang menjadi pengisian drama bersiri Anak Betong terbitan JS Pictures yang kini mengisi slot Legenda di TV3 sejak 27 Januari lalu.

Anak Betong yang dihasilkan sebanyak 20 episod itu juga merupakan kisah yang diangkat daripada filem klasik Anak Buluh Betong yang mengisahkan bagaimana seorang anak angkat derhaka terhadap keluarga angkatnya apabila dewasa.

Kisah sebegini agak klise, tetapi di bawah tangan Sheila, Jinggo dan krew produksi yang lain, Anak Betong menonjolkan satu sisi yang sedikit lain dari kebanyakan drama seram atau mistik yang sedang ditayangkan ketika ini.

"Idea itu datang daripada stesen TV yang mahukan agar kisah klasik dalam filem Anak Buluh Betong diberi nafas baru mengikut peredaran zaman.

"Kami bersama penulis skrip kemudiannya berbincang. Roh filem epik Anak Buluh Betong itu yang diteruskan namun jalan ceritanya akan masuk ke dalam kehidupan masyarakat hari ini yang serba moden," kata Sheila Rusly selaku penerbit Anak Betong yang ditemui sewaktu majlis pelancaran drama berkenaan di ibu negara, baru-baru ini.

Selain Sheila turut beraksi dalam drama bersiri berkenaan adalah Fizz Fairuz, Hairie Othman, Ezany Nizariff, Wan Nor Azlin, Normah Damanhuri, Maya, Linda Hashim, Haiza dan ramai lagi.





Seperti kejayaan drama-drama terbitan JS Pictures sebelum ini, Anak Betong juga menyaksikan kolaborasi suami isteri ini untuk sekian kalinya bersama Nazli Yahya atau Cik Li dalam menghasilkan skrip Anak Betong.

"Saya mengambil semangatnya sahaja untuk dijadikan drama bersiri ini. Selebihnya, adalah berdasarkan idea saya sendiri untuk menceritakan tentang keburukan jika sihir dan anasir jahat menakluki diri kita," beritahu Cik Li pula.

Bercakap mengenai Anak Betong, semestinya watak jahat yang dimainkan Sheila yang menarik perhatian. Sebenarnya, ini cabaran besar buat Sheila sendiri, memandangkan imejnya yang bertudung hampir mengekang banyak elemen penting, antaranya kostum serta dialog yang dilafazkan.

Lebih-lebih, Sheila juga harus menadah muka selama dua jam setiap hari untuk solekan semata-mata untuk menghidupkan watak Malika, seorang ahli sihir yang telah hidup sejak beratus tahun dahulu.

"Saya tahu ada orang mempertikaikan tindakan saya yang hanya mahu berlakon di bawah produksi sendiri tetapi itulah realitinya di mana saya bebas untuk mewarnakan setiap watak yang saya mahu.

"Dengan imej bertudung yang saya bawakan kini, ramai yang mengatakan saya tidak mampu untuk membawakan watak lain selain daripada watak yang baik-baik sahaja.

"Tapi menerusi Anak Betong, saya berjaya mengubah stigma tersebut dan ia merupakan salah satu sebab mengapa saya selesa berlakon di bawah syarikat sendiri," ujar Sheila bersungguh.

Kata Sheila, dia percaya itulah rezeki yang diberikan oleh Allah kepadanya agar kreativiti yang tidak disekat demi kepuasan untuk peminat.

Melakonkan watak Malika juga membuktikan Sheila bukan pelakon yang stereotaip semata-mata kerana tampil bertudung.

Bagi Jinggo pula, sebagai pengarah dia berdepan dengan cabaran untuk mengimbangi setiap genre serta karakter yang ditampilkan dalam Anak Betong.

Jelas Jinggo, Anak Betong bukanlah sebuah kisah seram sepenuhnya tetapi ia sebuah kisah rakyat. Untuk itu, skrip Anak Betong sendiri tidak boleh menjurus ke arah karya seram.

"Jangan salah anggap bahawa siri ini siri seram. Elemen seram memang ada tetapi tidak banyak. Masih ada elemen lain seperti humor, drama, aksi dan disebabkan itu, semua karakter yang ada dalam drama ini begitu penting untuk menghidupkan lagi jalan cerita Anak Betong.

"Contohnya watak yang dimainkan oleh Fizz Fairuz sebagai Anak Betung. Fizz (Jagat) bukanlah jahat sebagaimana yang disangkakan tetapi setiap gerak dan percakapannya adalah akibat daripada rasukan serta sihir yang disumpah oleh Malika yang mahu menghancurkan keturunan keluarga bapa angkat Jagat," ulas Jinggo tentang drama arahannya itu.


Plzz..Berikan Komen. Komen anda amat di perlukan untuk memberi idea kepada penulis mencari bahan untuk rujukkan bersama.

Comments :

0 comments to “Sheila ubah stigma”

Catat Ulasan

Clik Iklan Disini

 

coments