Cerita foto panas HETTY




SUDAH lama tidak mendengar cerita tentang gadis genit kelahiran Singapura, Hetty Sarlene.Kali terakhir kelibatnya dilihat adalah ketika dia muncul dalam filem Evolusi KL Drift pada awal tahun lalu.

Namun, selain muncul dengan imej baru dengan tubuh yang agak langsing dan imej urban, dalam diam ada cerita panas yang tiba-tiba meledakkan nama Hetty apabila foto-foto percutiannya bersama kekasih hati disebarkan di Internet.

Jika setakat gambar percutian ia bukanlah satu isu yang besar tetapi gambar yang diambil di atas katil bersama kekasih hati bukannya isu biasa dan telah membuat banyak pihak tersentak.

Hetty yang ditemubual Kosmo! baru-baru ini, mengakui dirinya sudah terlalu penat untuk menceritakan kisah sebenar di sebalik gambar percutian di Bangkok pada awal tahun lalu itu.





Namun, kerana memikirkan status selebriti yang dipikulnya, mahu tidak mahu dia terpaksa menjelaskan mengenai perkara itu.

Menurut gadis yang berusia 25 tahun itu, gambar tersebut diambil ketika dia bersama keluarganya, keluarga kekasihnya dan beberapa rakan bercuti di Bangkok, dan gambar yang mencetuskan kontroversi itu diambil oleh adik kenalannya.

"Saya bukannya pergi bercuti berdua sebaliknya bersama keluarga, dan gambar itu diambil untuk suka-suka. Tanpa sedar apabila ia dimasukkan ke laman web sosial di Internet, ada pihak mengambilnya dan mula menyebarkan cerita yang bukan-bukan.

"Itulah, kadangkala saya terlupa yang saya ini artis, apa jua yang dilakukan pasti akan jadi tumpuan dan apabila gambar itu menjadi kontroversi saya terpaksa terang satu persatu kepada setiap orang yang bertanyakan hal itu," beritahunya lagi.

Tambahnya, sejak peristiwa itu, dia kini lebih berhati-hati dan mengaku sudah serik untuk meletakkan gambarnya di laman web sosial, katanya, takut pisang berbuah dua kali.

"Biasalah saya macam orang lain juga, ada laman web sosial, dan letak gambar bersama rakan-rakan di Internet, tidak sangka pula jadi macam ini.




"Memang saya serik, dan ia memang satu kesilapan besar. Satu pengajaran yang saya dapat, selepas ini ambil gambar simpan sendiri sajalah," katanya dalam nada tawa.

Walaupun Hetty kelihatan sepi seketika selepas kontroversi itu, ia sebenarnya langsung tidak menjejaskan periuk nasinya sebagai anak seni.

Sebaliknya, dalam diam penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sangsi Asmara ini, pulang buat sementara waktu ke Singapura dan terlibat dengan beberapa penggambaran drama untuk siaran televisyen di sana.

Telan pil kurus

Penampilan Hetty kini jauh berbeza dengan penampilannya sebelum ini. Mana tidaknya, berat badannya telah turun sehingga 42 kilogram berbanding 52 kilogram sebelum ini.

Perubahan drastik itu dilakukan Hetty bukan kerana takut kehilangan populariti atau takut tidak mendapat tawaran lakonan tetapi kerana inisiatif dirinya sendiri.

"Badan saya jenis cepat naik, sebab itu saya kena berdiet. Saya tidak ingat sejak bila berdiet kerana saya diet bila rasa badan naik, jika tidak macam biasa saja pemakanan saya," ujarnya.

Hetty mengakui ketika di awal kemunculannya dalam persada seni Malaysia, sewaktu berumur 20 tahun, dia pernah mengambil pil pelangsing atau pil kurus sebagai langkah untuk mengurangkan berat badannya dengan cepat.

Bagaimanapun, setelah menerima nasihat daripada orang sekelilingnya tentang kesan sampingan dan pelbagai risiko penyakit berbahaya, Hetty terus menghentikan pengambilan pil itu.





"Masa dulu, saya budak-budak lagi, bila tengok orang kurus, mula rasa diri saya gemuk sebab itu saya ambil pil kononnya boleh kurus cepat, tetapi tidak ada kesan langsung ke atas saya.

"Sekarang, saya diet dengan cara yang betul, kurangkan ambil nasi, banyakkan senaman dan mengikut panduan daripada doktor," katanya.

Meskipun begitu, doktor telah menasihatkannya untuk menambah berat badannya kerana terlalu kurus untuk ketinggiannya yang setinggi 1.58 sentimeter.

"Mungkin berat badan tidak seimbang, saya demam teruk dan doktor suruh tambah berat badan, kalau boleh sampai 46 kilogram, lepas itu saya nak kekalkannya.

"Bukan apa, kalau gemuk nanti banyak baju tidak boleh pakai dan dalam TV pun tidaklah nampak besar sangat," jelasnya lagi.

Apa pun, Hetty tetap bersyukur kerana sehingga kini dia masih lagi sibuk menerima tawaran lakonan dan nyanyian dan berharap selepas ini tidak ada lagi kontroversi yang dikaitkan dengan dirinya.


Plzz..Berikan Komen. Komen anda amat di perlukan untuk memberi idea kepada penulis mencari bahan untuk rujukkan bersama.

Comments :

0 comments to “Cerita foto panas HETTY”

Catat Ulasan

Clik Iklan Disini

 

coments