Azilah, Sirul ke tali gantung..Altantuya Shaariibuu


SHAH ALAM - Nasib tidak menyebelahi dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar apabila mereka dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas disabitkan bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tiga tahun lalu. Dalam keputusan penghakiman yang dibacakan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yassin selama hampir 15 minit itu, beliau berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan melampaui keraguan munasabah.

Terdahulu, Mohd. Zaki berkata, setelah meneliti segala bukti keterangan sama ada secara individu atau berkumpulan, mahkamah mendapati hujahan pihak pembelaan adalah meragukan dan tidak boleh dipercayai.

"Keterangan bela diri kedua-dua tertuduh jelas ia menuding jari antara satu sama lain serta hanya penafian semata-mata," katanya yang berpendapat pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Menurut beliau, tertuduh pertama (Azilah) turut gagal memanggil saksi bagi menyokong keterangan bela diri bahawa dia tidak berada di tempat kejadian pada malam tersebut sebaliknya berada di Wangsa Maju.

Tertuduh kedua (Sirul) pula dalam keterangannya mendakwa, dia telah dijadikan 'kambing hitam' selain tidak pernah memberitahu pihak berkuasa tentang barang-barang peribadi mangsa disimpan di dalam jaket di rumahnya yang membawa kepada penemuan mayat.

Malahan, Sirul, 37, juga, kata Mohd. Zaki, telah menafikan keterangan Azilah yang mangsa diserahkan kepadanya untuk dibawa pulang ke Hotel Malaya.

Azilah, 33, sebelum ini memilih untuk memberikan keterangan melalui kandang saksi dengan mengangkat sumpah manakala Sirul mengemukakan pembelaan dari kandang tertuduh, tanpa mengangkat sumpah dan pendakwa tidak berpeluang mencabar kesahihan keterangan yang diberikannya.

Bagaimanapun, Azilah dan Sirul berpeluang untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kelak.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Azilah dan Sirul diperintahkan membela diri atas tuduhan membunuh wanita Mongolia kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.


Plzz..Berikan Komen. Komen anda amat di perlukan untuk memberi idea kepada penulis mencari bahan untuk rujukkan bersama.

Comments :

0 comments to “Azilah, Sirul ke tali gantung..Altantuya Shaariibuu”

Catat Ulasan

Clik Iklan Disini

 

coments