Diana Danielle masuk PLKN


altHARI ini merupakan hari yang penuh debaran buat gadis jelita ini. Bukan kerana menghadiri uji bakat lakonan atau temu janji bersama teman istimewa, tetapi inilah harinya Diana Danielle melangkah masuk ke kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Mengakui dibelenggu emosi kesedihan, Diana yang ditemui Selasa lepas, turut tidak menolak debaran di hatinya - bukan kerana takut dengan situasi yang akan dihadapinya nanti, sebaliknya perasaan rindu terhadap ibu kesayangan yang membuak-buak pasti akan dirasainya nanti.

Detik menyertai program itu di Kem Princess Haliza, Sepang sememangnya dinanti-nantikan oleh Diana, namun kerisauan memikirkan terpaksa meninggalkan ibunya, Norsiah Ramli sendirian, membuatkan perasaan sedih dirinya tidak mampu disorokkan.

Mana tidaknya, dari kecil hinggalah besar, ibu dan anak ini boleh dikatakan seperti belangkas. Bagi Diana, ibunya ibarat teman karib, ibu dan ayah untuknya bermanja dan meluahkan segala masalah susah senangnya.

"Memang saya teruja untuk menyertai PLKN memandangkan saya pun tidak pernah merasa pengalaman berada dalam PLKN.

"Dalam perasaan seronok ada juga rasa sedih bila fikirkan mama dan saya akan berpisah buat sementara waktu ini.

"Nak tak nak, saya perlu menempuhinya cuma bimbang tidak dapat mengawal perasaan rindu bila teringatkan mama sendirian di rumah. Apa-apa pun saya kena kuatkan diri, selamatlah adik saya (Halley Hayden) akan menjadi peneman ibu," ujar pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Lee Beeson ini.

Tambah Diana, apa yang membuatkan dirinya pasti akan lebih rindu kepada ibu tersayang adalah apabila telefon bimbit hanya boleh digunakan pada hari Sabtu dan Ahad serta boleh menerima pelawat pada dua hari itu sahaja.

Biarpun sedih meninggalkan ibunya selama tiga bulan, Diana sudah pun bersedia menempuh cabaran baru dari segi fizikal dan mental.

Apalagi dengan pengalamannya di sekolah yang aktif bersukan, rasanya pelakon jelita ini tidak mempunyai masalah untuk menjalani aktiviti-aktiviti lasak.

Menurutnya, mungkin dengan menyertai PLKN, Diana mampu membentuk dirinya menjadi seorang remaja yang lebih berdisiplin dan berdikari.

alt"Biasalah, saya dengan mama akan sentiasa bersama, jadi sering dimanjakan mama. Semua benda mama yang tolong buatkan.

"Tapi bila dah tinggal di kem, sudah pasti saya akan uruskan semua perkara sendirian tanpa bantuan sesiapa.

"Insya-Allah saya boleh menyesuaikan diri dengan suasana serta teman-teman baru di sana. Apa yang membuatkan saya rasa sedikit lega, ramai kawan-kawan yang akan bersama saya dalam kem itu. Tak adalah rasa kekok sangat," katanya.

Mungkin akan dibuli

Siapa yang tidak risau bila memikirkan macam-macam cerita yang tidak elok didengar daripada pihak luar tentang program PLKN.

Sehinggakan ada ibu bapa beria-ia membuat rayuan agar anak mereka tidak dimasukkan ke program tersebut yang mungkin dapat membahayakan anak mereka.

Namun, bagi Diana, dia lebih suka jika program ini difikirkan secara positif. Biarpun ada sedikit perasaan gusar di hati, tidak bermakna ia boleh menghilangkan semangatnya sebagai salah seorang daripada peserta PLKN.

"Pernah juga saya terfikir dengan cerita-cerita agak menakutkan yang pernah dipaparkan surat khabar. Sampaikan ada yang meninggal pun ada, tapi ajal itu kan di tangan tuhan.

"Saya positifkan diri. Bagi saya perkara-perkara yang tidak diingini boleh berlaku dimana-mana sahaja. Lagipun keselamatan kita memang pihak PLKN jaga. Jadi tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

alt"Mama pun ada juga nasihatkan saya untuk berhati-hati dan pandai menjaga diri sepanjang berada di kem," tuturnya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Bintang Popular di Hotel Palace of the Golden Horses kelmarin.

Ditanya pula tentang keistimewaan yang mungkin akan diberikan kepadanya memandangkan dia seorang selebriti, dia yakin tiada keistimewaan untuknya.

"Saya rasa, dalam kem itu semua orang akan dilayan sama rata. Tidak ada siapa yang akan diberikan keistimewaan.

"Cuma mungkin saya akan 'dibuli'. Menjadi seorang selebriti, tak semua yang sukakan kita. Walau apa pun, saya bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku," ujar Diana.

Sementara itu, sebelum meninggalkan keluarga tercinta, Diana telah memberikan hadiah hasil daripada air tangannya sendiri dengan membuat kek coklat.

"Dah lama saya teringin nak buat kek, cuma masa tak ada. Jadi sebelum pergi PLKN saya nak beri sesuatu kepada keluarga saya.

"Lagipun inilah kali pertama saya membuat kek. Tak tahulah mereka suka atau tidak," selorohnya.


Plzz..Berikan Komen. Komen anda amat di perlukan untuk memberi idea kepada penulis mencari bahan untuk rujukkan bersama.

Comments :

0 comments to “Diana Danielle masuk PLKN”

Catat Ulasan

Clik Iklan Disini

 

coments