Apa dosa golongan HIV/AIDS? 'dalam pembahasan parlimen'


BERGEGAR lagi rumah Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan mereka yang berada di bawah naungannya. Kali ini kerana cadangan daripada beberapa ahli Parlimen yang mengatakan bahawa golongan yang hidup dengan HIV/AIDS ‘sengaja mencari’ jangkitan itu.

Kalau itu belum cukup menyinggung, ada pula yang mencadangkan usul polisi sulit identiti penghidap HIV/AIDS didedahkan agar dapat mengurangkan keresahan awam.

Tanpa membuat rujukan, ‘tuduhan’ seterusnya menghala ke satu arah sahaja iaitu menyalahkan dunia pelacuran dan dadah semata-mata.

Sebelum ini, ada seorang pemimpin politik yang lain mencadangkan golongan ini ditempatkan di sebuah pulau yang terpencil.

“Apa yang disebutkan mereka ini adalah contoh sikap tidak ambil peduli. Sungguh luar biasa apa yang dikatakan itu kerana kekecohan yang ditimbulkan tidak berasaskan fakta dan situasi sebenar,” tegas Pengurus Program di Yayasan Pink Triangle (YPT), Danisha Monish.

Menurut statistik Pusat Sumber MAC tentang jumlah kes HIV/AIDS, sehingga Jun tahun lalu hanya sebanyak 43 kes jangkitan berlaku di kalangan pekerja seks, sementara 127 kes lagi melibatkan suri rumah.




“Ini belum mengambil kira kes yang berlaku di kalangan pelajar, pekerja industri hinggalah kepada kakitangan kerajaan,” ujarnya.

Statistik itu jelas menunjukkan bahawa peratusan kes jangkitan kini lebih cenderung terjadi di kalangan individu yang menjadi mangsa jangkitan dalam senyap, dan bukan daripada golongan berisiko tinggi seperti pekerja seks dan penagih dadah.

“Kita perlu terima hakikat bahawa golongan penghidap HIV/AIDS hidup di sekeliling kita, sama ada mereka yang sudah terdaftar dalam statistik ini ataupun yang masih tersembunyi,” tambahnya yang mahukan pemahaman mesej dan maklumat HIV/AIDS diperkasa.

Malah, menurut Danisha, banyak kes jangkitan dilaporkan terjadi di kalangan pekerja profesional.

“Adakah adil jika orang yang sama-sama berkhidmat dan menyumbang untuk masyarakat dan negara dihukum sebegitu?” kata Pengurus Program Kanan di YPT, Yusmar @ Mitch.

“Apa rasionalnya mereka ini dipinggirkan dan dimalukan lagi dengan pendedahan identiti mereka kepada umum? Negara pastinya akan kerugian banyak tenaga profesional jika golongan HIV/AIDS dinafikan hak untuk hidup bermasyarakat,” tegasnya.

Danisha dan Yusmar menekankan, kalau usul meminggirkan golongan HIV/AIDS dibuat kerana takut akan ancaman jangkitan atau menimbulkan keresahan, perkara yang sama juga perlu dibuat kepada pesakit hepatitis. Penyakit itu sebenarnya lebih berbahaya dan mudah dijangkiti.

“Walau apa pun, pencegahan lebih penting daripada rawatan. Sebab itulah pentingnya proses pendidikan yang berterusan,” tambah Danisha yang hairan projek pendidikan seks masih belum dilaksana sepenuhnya.

Sedangkan melaluinya, generasi muda boleh didedahkan dengan perkara penting seperti sistem reproduksi, soal gender dan seksualiti, jangkitan penyakit dan pengurusannya, seks selamat dan seterusnya selok-belok hidup bersosial.

“Semua itu malangnya tidak dapat mereka dalami, lebih-lebih lagi kerana kongkongan budaya dan institusi keluarga yang menganggapnya tabu,” rumus Yusmar.

Koordinator Pusat Sehenti YPT yang dikenali sebagai Rina pula menambah, isu HIV/AIDS sering digembar-gembur tanpa matlamat sedangkan ia perlu diberi tumpuan secara adil dan bersama.

“Kami sudah berusaha bertahun-tahun untuk menyedarkan orang ramai tentang perkara ini.

“Golongan yang hidup dengan HIV/AIDS juga sudah ramai yang diberi semangat untuk meneruskan hidup dan terus berbakti dalam bidang yang mereka boleh sumbangkan,” ujarnya.

“Alangkah sia-sia semua usaha kami itu kalau saat melangkah ke dunia luar, golongan ini ditekan dengan diskriminasi, konfrontasi, penghinaan sosial dan juga stigma yang tidak berakhir,” rumus Yusmar.

Keresahan awam tentang isu ini sebenarnya terjadi apabila kita ‘malas’ untuk mengambil tahu perkembangan di sekeliling kita hinggakan mendapat gambaran yang kurang tepat tentang HIV/AIDS.

Hanya apabila semua sensitiviti ini sudah diambil kira, langkah seterusnya adalah dengan membincangkan isu ini dengan lebih intelek di dalam masyarakat kita, baik di rumah ataupun di Parlimen.


Plzz..Berikan Komen. Komen anda amat di perlukan untuk memberi idea kepada penulis mencari bahan untuk rujukkan bersama.

Comments :

1
Shada178 berkata...
on 

testing komen testing

Catat Ulasan

Clik Iklan Disini

 

coments