Lagi-lagi Filem

Blog yang berusia tidak sampai setahun itu menjadi wadah untuk menyuburkan budaya filem tempatan.




HARITH Baharudin dan Yusrilaikha Wan Yusoh mengakui diri mereka begitu 'menggilai' filem. Malah, lokasi temu janji mereka dianggap romantis iaitu di panggung wayang Cineleisure Damansara, Petaling Jaya. Pada masa yang sama, mereka taksub dalam bidang pengajian kerana kedua-duanya ketika itu menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) peringkat ijazah pertama jurusan Teknologi Kreatif (Seni Layar).

Bagi pasangan merpati dua sejoli ini, Harith, 26, dan Yusrilaikha, 23, seni filem sememangnya mengalir dalam darah mereka. Atas dasar cinta terhadap filem, maka lahirlah sebuah blog nukilan bersama.

Blog berjudul Lagi-lagi Filem (http:// coldheartediceprincess.blogspot.com/) itu, kata Harith, merupakan 'wadah' mereka berdua dalam memberi sedikit sumbangan kepada industri filem Melayu tempatan.





Blog yang berusia kurang setahun itu memberi tumpuan kepada filem-filem Melayu dengan hasrat 'menyuburkan' budaya filem tempatan. Mungkin sebab kelainan itulah blog Lagi-lagi Filem mendapat banyak perhatian sejak kebelakangan ini.

Setakat ini, blog filem pasangan muda itu berjaya menarik perhatian lebih 4,000 pelawat secara keseluruhannya.

"Kami lihat terlalu banyak blog yang membuat ulasan filem. Tetapi filem-filem Melayu jarang dapat ulasan. Jadi, sebagai pelajar filem, inilah tanggungjawab kami untuk 'menyuburkan' filem Melayu," kata Harith, orang pertama yang memberi ulasan filem dalam blog tersebut.

Belasan buah filem Melayu telah diulas oleh pasangan itu, antaranya filem Maut, Histeria, Kinta, Budak Kelantan dan Susuk.

Harith yang menyimpan impian bergelar seorang pengarah filem suatu hari nanti berkata, biarpun dia mengulas dari sisi buah fikiran seorang pelajar filem, gaya ulasannya adalah ringkas.

Yusrilaikha yang lebih dikenali sebagai Ikha menambah, berkat kesungguhan mereka mengulas filem-filem tempatan, pelbagai jemputan previu wayang 'datang bergolek'. Sebahagian besar jemputan, katanya, datang daripada syarikat Tayangan Unggul Sdn. Bhd.

"Kebiasaannya kami mengulas sesebuah filem Melayu dari sisi luaran yang boleh difahami orang biasa. Kami akan menyentuh tentang aspek jalan cerita atau naratif, watak, cara kerja dan teknik filem.





"Salah satu filem yang kami sangat berpuas hati dan suka ialah cerita Budak Kelantan arahan Wan Azli Wan Jusoh. Sebabnya, filem itu sangat raw dan lain daripada yang lain.

"Dengan bajet yang tidak banyak, mereka masih boleh hasilkan filem berkualiti yang berfalsafah dan disukai ramai. Jadi, kami dapat simpulkan cara penyampaian mesejnya dalam cerita Budak Kelantan itu sangat berkesan," ujar Ikha, anak kelahiran Johor Bahru.

Hanya berlatarbelakangkan platform hitam, blog Lagi-lagi Filem tidak menggunakan dekorasi melampau. Ia ringkas dan lebih menumpukan kepada isi kandungan yang ingin disampaikan.

Mengungkap kata-kata pengarah filem terkemuka, Yasmin Ahmad: 'If the film is best, it travels', Harith berkata, karya arahan Mamat Khalid adalah antara kesukaannya.

"Mungkin ramai tidak suka karya Mamat Khalid dan menganggapnya agak mengarut. Tetapi, sebagai pelajar filem, kami nampak sisi sindiran dan 'isi' kemasyarakatan atau sosial yang ingin disampaikan berbanding orang biasa," ujarnya sambil memberitahu ulasan cerita yang dibuat lazimnya dilakukan secara adil.





Bagi filem-filem Melayu yang seteruk mana sekali pun, pasangan itu akan sedaya upaya mencari sisi positif untuk disampaikan kepada khalayak.

"Kadang-kadang kami akan tengok filem itu dua atau tiga kali untuk mencari kekurangan dan juga kelebihannya. Selain mempunyai dua pengarang dalam satu blog, kami berpendapat pentingnya pembaca memahami ulasan, mesej atau kritikan yang disampaikan.

"Kami perasan kebanyakan blog filem seakan-akan hanya ditujukan untuk golongan pembaca elit. Bahasanya terlalu teknikal. Satu kumpulan blogger filem pula tidak memiliki latar belakang mengenai topik yang diulas. Jadi, peranan kami adalah sebagai medium pertengahan. Maksudnya, kami pelajar filem tetapi berkomunikasi dengan pembaca menerusi gaya penyampaian yang difahami ramai," jelas Harith sambil memberitahu dia dan Ikha akan pergi menonton wayang tiga atau empat kali seminggu.

Selain berkongsi pandangan, Ikha berkata, blog itu juga membuka peluang kepada pembaca berdebat secara sihat jika terdapat percanggahan pendapat tentang sesebuah filem.

Menurutnya, bukan mereka tidak pernah mengulas filem-filem Hollywood, tetapi ruang perdebatan yang luas dalam blog mereka juga dilihat mampu memupuk budaya cintakan filem-filem tempatan menerusi komuniti dalam talian.

Ikha yang menyimpan cita-cita untuk menjadi pensyarah filem menjelaskan kesemua ulasan filem yang dibuatnya berpandukan kepada pemahaman dan selera peribadi.





"Tetapi, setiap ulasan yang dibuat tidak akan disertakan dengan kesimpulan jalan cerita. Sebabnya, kami mahu menggalakkan pembaca untuk pergi menonton filem itu sendiri. Itu satu lagi kelainan blog filem kami," tambahnya.

Namun, disebabkan jadual tugasan harian yang sangat padat sebagai seorang pelajar, Harith dan Ikha tidak mempunyai masa untuk mengemaskini blog secara kerap.

"Kadang-kadang sekali masuk blog, kami akan memuat naik dua hingga tiga post sekali gus. Kalau nak tahu, setiap wayang yang ditonton akan dikritik atau diulas dalam blog dahulu sebelum ditulis dalam kertas projek universiti. Langkah ini dapat membantu mengelakkan kami daripada terlupa," jelas Ikha sambil ketawa.





Belum bersedia menjana pendapatan daripada blog filem Melayu mereka, pasangan ini mengakui mereka turut membantu fakulti mempromosikan tayangan-tayangan filem yang ditawarkan di kampus universiti.

"Datanglah, fakulti kami ada buat tayangan filem percuma dari pukul 8 hingga 10 malam di kampus UiTM Puncak Perdana, Shah Alam. Semua dijemput datang," pesan Ikha sambil memberitahu tayangan percuma itu bertujuan melatih golongan remaja meminati dunia sinema.


Plzz..Berikan Komen. Komen anda amat di perlukan untuk memberi idea kepada penulis mencari bahan untuk rujukkan bersama.

Comments :

0 comments to “Lagi-lagi Filem”

Catat Ulasan

Clik Iklan Disini

 

coments