Ziana Zain Resah

:pingu_25:


SELEPAS enam tahun 'berehat' dan tidak membuat kemunculan di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL), penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain kini kembali lagi menerusi AJL 23 yang bakal berlangsung 18 Januari ini bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Acara yang dianggap terpenting dalam direktori industri seni tanah air itu membuatkan Ziana sekadar pasrah dan berserah segala-galanya kepada penilaian pihak juri terhadap lagu yang layak diumumkan Juara Lagu tahun ini.

Walaupun merasakan lagu Dingin ciptaan Azlan Abu Hassan itu tetap punya keistimewaan sendiri, namun siapalah dirinya untuk menentukan kemenangan sama ada berpihak untuk lagu Dingin.

Merendah diri adalah sikap Ziana yang harus dipuji. Masakan tidak, walaupun menjadi peserta paling senior yang akan berentap di AJL 23, namun hati Ziana tetap gusar mempertaruhkan lagu istimewa ciptaan Azlan, manakala lirik pula dicoret oleh Azalea.

Tidak dinafikan momen menggembirakan yang berpihak buat Ziana ketika kemenangan lagu Menadah Gerimis pada tahun 2002 sememangnya masih berlegar-legar dalam ingatan.

Namun, itu tidak membuatkan ibu kepada dua orang cahaya mata itu meletakkan harapan menggunung dalam AJL yang menampilkan tema Iluminasi Muzik itu.

"Sejujurnya, saya lihat semua lagu yang bertanding ke peringkat akhir ada kekuatan masing-masing. Sama juga halnya dalam kategori Balada, setiap lagu yang tersenarai cukup berbeza dan unik.

"Persaingan kini tidak seperti era saya ketika beraksi dalam AJL dulu," ungkap Ziana mengimbas pembabitan bersama AJL sebelum ini ketika ditemui pada sidang media dan cabutan nombor giliran persembahan AJL 23 yang diadakan di Sri Pentas Bandar Utama minggu lalu.

Sambung anak seni yang sarat dengan sikap peramah itu, peredaran zaman semakin berubah dengan pantas, maka banyak juga pembaharuan ditampilkan dengan deras dalam pasaran seni tempatan.

"Jika sebelum ini lagu yang bertanding dalam kategori Balada pastinya kedengaran hampir sama hingga sukar untuk dibezakan tetapi lagu-lagu yang dihasilkan kini kelihatan cukup berwarna-warni.

"Cukup hebat sebenarnya bakat-bakat muda yang ada sekarang. Mereka boleh mencipta bermacam lagu dengan menarik sekali," kata Ziana yang meluahkan pandangan ikhlas daripada salah seorang penyanyi berpengalaman di Malaysia.

Sambung Ziana lagi, dia tidak sesekali memandang status penyanyi senior sebagai satu kelebihan atau laluan mudah buat dirinya untuk mendapatkan tiket kemenangan di AJL 23 nanti.

Malah, ketika lagu Dingin diumumkan terpilih beraksi ke AJL 23 penyanyi itu tergamam dan kelu seribu bahasa.

"Saya anggap pengumuman pemilihan lagu itu ke AJL 23 adalah rezeki Azlan. Saya memang tidak sangka pada malam separuh akhir Pop Rock itu, pihak TV3 buat pengumuman mengejut bahawa lagu saya terpilih ke peringkat akhir.

"Terus terang saya katakan lagu dan lirik Dingin memang menarik sekali. Sebagai penyanyi, saya hanya luahkan sebaik mungkin. Lagipun, lagu itu cukup mencabar buat saya, malah pernafasan juga kena bagus untuk menyampaikan Dingin.

"Menurut pandangan saya, Azlan merupakan komposer yang hebat. Dia sentiasa tampil dengan lagu-lagu yang mengikut peredaran semasa, ditambah dengan alunan irama yang segar.

"Begitu juga dengan Dingin. Saya dapati susunan muzik yang dibikinnya cukup baik," sahut Ziana menzahirkan riak dan apresiasi tidak terhingga buat penggubah lagu Dingin.


Plzz..Berikan Komen. Komen anda amat di perlukan untuk memberi idea kepada penulis mencari bahan untuk rujukkan bersama.

Comments :

0 comments to “Ziana Zain Resah”

Catat Ulasan

Clik Iklan Disini

 

coments