Tudung … Hukum Syara’?

Isu tudung pada hakikatnya tidak sepatutnya menjadi polemik masyarakat umat Islam yang tidak berkesudahan. Isu ini bukanlah isu etika berpakaian sehingga ia harus dipertimbangkan sama ada perlu atau tidak, sesuai atau tidak kepada masyarakat kita atau bila dan di mana ia wajar dipakai. Isu ini bukanlah isu yang boleh diperdebatkan atau dibincangkan dalam mencari kaedah perlaksanaan yang terbaik, atau samada ia harus diwajibkan atau tidak. Isu tudung adalah isu yang menyangkut soal hukum syara’ dan kedaulatannya. Oleh yang demikian, umat Islam wajib memartabatkan hukum syara’ dan wajib terikat di setiap masa dan detik tanpa menilai pangkat mahupun kedudukan. Inilah hakikat pemakaian tudung. Tudung telah diWAJIBkan oleh Allah dalam firmanNya yang amat jelas:

“…Dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudung mereka ke paras dada…” [TMQ an-Nur:31]

Kehendak ayat ini adalah jelas. Allah tidak menerangkan lebih lanjut tentang maksud ayat ini dan tidak terdapat hadis qauli (ucapan Nabi) yang sahih tentangnya. Namun begitu, hadis iqrari (perakuan Nabi) yang sahih tentangnya amat banyak sekali, Ini merupakan hadis berbentuk perakuan Nabi terhadap para sahabat wanita yang semuanya bertudung setelah turun ayat tersebut. Di antaranya adalah:
Yang pertama, hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah radhiAllahu ’anha:

"Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya."

Kedua, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah binti Shaybah katanya:

"Ketika kami bersama ‘Aisha r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aisha menyampuk: "Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw., seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka."

Jelas sekali, apabila perintah kewajiban memakai tudung diturunkan, kaum wanita Islam zaman awal tidak mempersoalkan sama ada boleh atau tidak, sesuai atau tidak, bila dan di mana dan tidak pula meminta para cendekiawan atau pemimpin mereka membincangkan soal pemakaian tudung; namun mereka bergegas menyambut perintah tersebut dengan mengoyakkan sebahagian kain sarung mereka untuk menutup kepala dan dada. Mereka melakukannya kerana menginginkan keredhaan Allah semata-mata dan bukan kerana ingin mendapatkan keredhaan manusia atas nama ‘glamour’, peraturan sekolah, undang-undang tempat kerja, periuk nasi, tidak sampai ‘seru’, pakaian ‘taqwa’ lebih baik atau pelbagai lagi alasan yang tidak masuk akal. Golongan wanita Muslim awal seperti inilah sepatutnya dijadikan contoh dan teladan kepada kaum wanita zaman kini untuk segera melaksanakan perintah pemakaian tudung, sekiranya merasakan diri merupakan wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala


Plzz..Berikan Komen. Komen anda amat di perlukan untuk memberi idea kepada penulis mencari bahan untuk rujukkan bersama.

Comments :

0 comments to “Tudung … Hukum Syara’?”

Catat Ulasan

Clik Iklan Disini

 

coments